LEMBAH Lenggong, yang akan
diraikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco hari ini masih menyimpan pelbagai
rahsia sebagai penempatan terawal manusia zaman pra-sejarah di negara ini.
Kehadiran manusia di Lembah
Lenggong yang dikatakan bermula hampir dua juta tahun yang lepas membuktikan
lembah itu pernah menjadi antara peradaban tertua manusia di luar benua
Afrika.
Lembah Lenggong menjadi
perhatian masyarakat arkeologi dunia sejak penemuan kerangka manusia yang
dikenali sebagai Perak Man, bengkel pembuatan perkakas zaman batu (Paleolitik)
serta pelbagai khazanah purba yang lain.
Pada 30 Jun lepas warisan
arkeologi Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan
Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO),
satu pengiktirafan yang mengukir nama negara dalam peta arkeologi dan
pelancongan dunia.
Penyenaraian itu menjadikan
kawasan berkenaan sebagai tapak Warisan Dunia ke-953 dan Tapak Warisan Dunia
keempat di Malaysia selepas bandaraya bersejarah Melaka dan George Town di
perairan Selat Melaka, Taman Negara Gunung Mulu di Sarawak dan Taman Kinabalu
di Sabah.
Khazanah tersirat
Lembah Lenggong yang terletak
kira-kira 80 kilometer dari Ipoh telah membuka pintu kepada orang ramai untuk
melihat sendiri warisan pra-sejarah negara.
Pengarah Jabatan Warisan Negara
bagi Zon Tengah, Mohd Syahrin Abdullah berkata, untuk melihat dari dekat orang
ramai boleh datang melawat Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang adalah galeri
pameran pertama di Malaysia bagi barangan pra-sejarah.
Selain artifak yang dipamerkan
di galeri ini, semua jenis batuan yang terdapat di Hulu Perak dipamerkan di
Taman Geologi yang terletak di laman galeri berkenaan.
"Sejak menerima pengiktirafan
Unesco itu, peningkatan kedatangan pengunjung sudah mula dirasai.
"Purata peningkatan
kedatangan pelawat ke galeri adalah sekitar 150 peratus sejak mendapat
pengiktirafan daripada Unesco," katanya.
Menurut Mohd Syahrin Jabatan
Warisan Negara bertanggungjawab terhadap perlindungan dan pemuliharaan tapak
berkenaan. Pembangunan dan promosi pelancongan kawasan ini perlu berdasarkan
kepada garis panduan untuk memulihara pengiktirafan warisan dunia itu.
Mohd Syahrin memberitahu
Bernama eskavasi dan penyelidikan yang komprehensif di Lembah Lenggong
dilakukan selama 20 tahun bermula 1987.
Banyak artifak telah ditemui
termasuk berpuluh-puluh ribu perkakas batu, tembikar dan gangsa di beberapa
tapak yang pernah didiami manusia bermula zaman batu.
Beliau berkata antara penemuan
penting adalah kerangka Perak Man, berusia lebih 10,000 tahun yang ditemui di
tapak Gua Gunung Runtuh di Bukit Kepala Gajah, Kampung Gelok, di sini.
"Satu lagi tapak penting
adalah Kota Tampan. Ia merupakan satu tapak pembuatan perkakas batu yang
menunjukkan kemampuan membuat perkakas batu masyarakat yang hidup di
zaman itu," katanya.
Latar belakang manusia
Mohd Syahrin berkata kerangka Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990 adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap pernah ditemui.
Mohd Syahrin berkata kerangka Perak Man yang ditemui semasa ekskavasi di Gua Gunung Runtuh pada tahun 1990 adalah satu daripada kerangka purba paling lengkap pernah ditemui.
"Perak Man adalah rangka
seorang lelaki dengan ketinggian 154cm. Ia ditemui ditanam dalam keadaan
kedua-dua kakinya dilipatkan ke dada dan bersamanya ditemui 2,878 siput sedut
yang telah siap dipotong muncungnya dan sedia untuk dimakan.
"Turut ditemui bersama
kerangka itu adalah cebisan tulang daripada pelbagai spesis haiwan yang telah
dibakar serta perkakas batu," katanya.
Kajian lanjut menunjukkan Perak
Man mempunyai kecacatan genetik dan dipercayai meninggal dunia pada usia
sekitar 40 hingga 45 tahun, satu usia jauh melebihi purata hayat manusia zaman
itu.
Cara pengkebumiannya yang penuh
adat menunjukkan beliau mempunyai peranan penting dalam masyarakat purba itu.
Ia juga secara langsung menunjukkan masyarakat primitif Lembah Lenggong
mempunyai peradaban yang agak maju.
Majlis meraikan Lembah Lenggong
sebagai Tapak Warisan Dunia akan diadakan di Dataran Lenggong hari ini. Majlis
ini dianjurkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan
kerjasama Jabatan Warisan Negara dan Kerajaan Negeri Perak.
Dianggarkan lebih 5,000 orang
terutama daripada masyarakat setempat, pelajar sekolah dan institusi pengajian
tinggi, persatuan-persatuan sejarah dan warisan, serta pengusaha sektor
pelancongan akan membanjiri Dataran Lenggong untuk bersama-sama meraikan
pengiktirafan dunia itu.
No comments:
Post a Comment