Thursday 30 October 2014

SEJARAH ARCA


     
Arca yang paling awal dijumpai merupakan arca ukiran daripada gading, tulang, tanduk, dan tanah liat. Arca ini dihasilkan oleh orang Aurignacian dan Magladenia pada kira-kira tahun 8000 S.M. masyarakat zaman tamadun lama seperti orang Mesir, Yunani, Mesopotamia, China, dan India turut menghasilkan beraneka jenis arca dengan menggunakan bahan-bahan yang berlainan.

Pada zaman itu, subjek dibina dalam bentuk figura manusia dan haiwan disebabkan fungsinya sebagai lambang yang berkaitan dengan sistem kepercayaan dan keagamaan. Michelangelo di Lodovico Buonarroti Simoni (1475-1564), merupakan pengarca yang teragung pada Zaman Pembaharuan iaitu lebih dikenali sebagai Renaissance di Eropah.

Pengarca masyhur yang mula membina arca dalam bentuk abstrak pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua ialah Henry Moore (1898-1986), yang berbangsa Inggeris dan Alberto Giacometri (1901-1966), warganegara Switzerland. Selepas Perang Dunia Kedua, bahan yang digunakan untuk arca telah beralih daripada bahan tradisional seperti batu marmar, kayu, gangsa, dan sebagainya kepada bahan plastik, nilon, fabrik, dan bahan buangan lain.

Di samping teknik luakan binaan dan tambahan, teknik acuan, pateri, jahitan, gam, asemblaj, dan sebagainya turut digunakan. Terdapat juga arca yang bergerak, berbunyi atau berlampu kesan penggabungan kuasa elektrik dalam gubahan.

Arca instalasi (pemasangan) merupakan seni yang dapat bertindak terus dengan orang yang sedang melihat atau memandang dalam tempo dan ruang tertentu kerana arca jenis ini dicipta khas buat sementara waktu bagi tapak tertentu dalam sesuatu pameran. Selain itu, arca ini juga merupakan karya tiga dimensi (3D) yang memerlukan ruang yang luas untuk dihasilkan dan dipamerkan. Bahagian-bahagian berasingan dicantum, dipasang, atau disusun menjadi satu.

Seni land ( citra tanah) ialah projek seni dalam skala besar yang sering berkaitan dengan tapak alam semulajadi tertentu. Pergerakan seni ini dapat menarik perhatian orang ramai terhadap masalah pencemaran alam sekeliling yang bertambah serius masa kini. Seni land menggunakan mesin atau jentera berat untuk menukar permukaan bumi/tanah atau membungkus tapak yang sedia ada. Seni yang dipersembahkan adalah dalam bentuk siri gambar foto atau video.

Sejarah arca di Malaysia tidak berkembang secara meluas berbanding dengan catan. Namun, terdapat juga karya yang sangat menarik dan tersohor. Arca yang menarik lahirnya dari minda yang kreatif dan mempunyai semangat dan kesabaran yang tinggi. Pengarca yang memina arca estetika moden hanya muncul pada sekitar tahun 1960-an. Antara perintis pengarca tempatan yang terkenal ialah Anthony Lau, Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Lee Kian Sen, Ramlan Abdullah dan ramai lagi.

Mad Annuar Ismail, Raja Shahriman Raja Aziddin, Chin Wan Kee, Wong Pei Yu, dan lain-lain nama baru yang melopori bidang arca di Malaysia. Mereka merupakan generasi muda yang aktif dalam kegiatan mencipta karya-karya arca.


Baharuddin Mohd Arus, John Hii, Hasnul Jamak Saidon, dan lain-lain adalah pengarca-pengarca yang tertarik kepada pendekatan elektronik dan multimedia. Laman Asean yang terletak berhampiran Tugu Peringatan Kuala Lumpur merupakan sebuah taman arca yang istimewa di Malaysia. Enam buah karya arca di sini merupakan hasil kreativiti pengarca dari Indonesia, Thaniland, Brunei Darussalam, Singapura, dan Malaysia sempena menyambut ulang tahun ke 20 penubuhan Asean.

No comments:

Post a Comment